Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Imigresen membuat laporan kepada SPRM itu supaya satu siasatan yang telus dapat dijalankan.
Laporan kepada SPRM itu dibuat Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen Datuk Makhzan Mahyuddin, di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 2.30 petang.
Video tersebut memaparkan, seorang wanita memberi ucapan berkaitan status keberadaan dan pergerakan keluar masuk negara seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’.
Wanita itu mendakwa ‘Kak Siti’ mempunyai pas kerja yang sah dan telah melahirkan tiga orang anak di Malaysia, dan beliau telah pergi ke Batam, Indonesia bersama-sama ‘Kak Siti’ dipercayai cuba membantu ‘Kak Siti’ untuk masuk semula ke Malaysia.
Ucapan itu turut mendakwa, ‘Kak Siti perlu membayar sejumlah wang kepada individu yang didakwa sebagai pegawai Imigresen, bagi membantu kemasukan ‘Kak Siti’ ke negara ini.
“Jika terbukti dakwaan di dalam video tersebut adalah benar, tindakan yang tegas tanpa kompromi akan diambil, jika terdapat pegawai jabatan ini yang melakukan kesalahan.
“Jika dakwaan di dalam video tersebut tidak benar, tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap wanita yang memberi ucapan di dalam video tersebut,” kata Khairul Dzaimee.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan, yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi.
“Jabatan ini juga tidak akan membiarkan mana-mana pihak, sewenang-wenangnya cuba membuat kenyataan atau dakwaan yang tidak benar yang boleh menjejaskan nama baik jabatan,” katanya.
— BERNAMA